Peluang dapat pekerjaan baru

Rabu, 28 Januari 2009

utusan malaysia,29 Jan

Sejumlah 482 pekerja di Kilang Panasonic Electronic Devices (M) Sdn. Bhd. yang diberhentikan kerja secara berperingkat-peringkat sejak awal Januari hingga Jun ini dijanjikan dengan beberapa peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md. Yunos Husin berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa syarikat seperti pasar raya Mydin, hotel-hotel dan syarikat-syarikat swasta yang bersedia mengambil mereka bekerja.

Di samping itu, jelas beliau, pekerja terbabit juga turut ditawarkan peluang untuk menjadi usahawan kecil dan sederhana (SME) dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan sedia membantu.

''Pekerja-pekerja kilang terbabit tidak perlu risau kerana kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah perlu bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan di tempat lain dan kita membantu jika ada yang berminat untuk menjadi usahawan.

''Selain itu, mereka yang diberhentikan kerja telah dijanjikan pampasan oleh syarikat berkenaan antara RM10,000 hingga RM300,000," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Md. Yunos, ada beberapa bekas pekerja kilang tersebut telah menjalani temu duga kerja di pasar raya Mydin yang akan dibuka pada April dan beberapa hotel terkemuka di negeri ini.

Di samping itu katanya, agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tekun dan Agro Bank sedia membantu jika ada di kalangan pekerja terbabit berminat untuk membuka perniagaan.

Md. Yunos menegaskan, kesan daripada kelembapan ekonomi dunia tidak banyak menjejaskan sektor perkilangan dan pembuatan di negeri ini.

 
Dari Pena YB Datuk Yunos - by DaNiaHoneY Blogger