Kebajikan pekerja perlu diutamakan

Selasa, 9 Jun 2009

Dipetik dari Utusan Malaysia

MELAKA 9 Jun - Semua majikan kepada 133,407 pekerja asing di negeri ini diminta memberi keutamaan kepada kebajikan setiap pekerja mereka bagi memastikan tidak berlakunya gejala sosial yang boleh mencemarkan imej negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan tidak wujudnya penempatan seperti Mini Jakarta, Myanmar dan Bangladesh.

Menurut beliau, jika majikan mengabaikan soal kebajikan pekerja, ada kemungkinan besar berlakunya penempatan baru warga asing di negeri ini.

"Kerajaan negeri tidak mahu pekerja warga asing ini membuka penempatan baru yang mungkin tidak disenangi oleh masyarakat setempat dan jika ini berlaku dibimbangi kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Dialog Bersama Pekilang-pekilang Kawasan Perindustrian Cheng dan Krubong di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian (MISDEC) di sini hari ini.

Md. Yunos berkata, majikan perlu menyediakan tempat penginapan pekerja asing yang cukup selesa dengan dilengkapi dengan dapur, televisyen, bilik air yang sempurna dan tempat untuk beriadah.

Beliau menambah, jika majikan menempatkan 20 pekerja dalam satu rumah tiga bilik ia akan membuatkan pekerja berada dalam keadaan tidak selesa.

"Bila tidak selesa, mereka akan melepak di luar rumah beramai-ramai dan tentulah keadaan itu menganggu suasana harmoni masyarakat tempatan sekitarnya," katanya sambil menambah terdapat 33,000 pekerja asing bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

Beliau berkata, setiap majikan juga perlu mempunyai sikap mengambil berat tentang keadaaan kediaman pekerja mereka.

Sebagai contoh, katanya, majikan boleh melakukan pemantauan terhadap kediaman pekerja untuk mengetahui tahap kebersihan dan keperluan mereka dari semasa ke semasa.

"Selain itu, kerajaan negeri juga kini sedang berbincang dengan beberapa pekilang untuk menyediakan kawasan asrama kepada pekerja yang dapat memenuhi keperluan mereka," katanya.

Melaka tubuh JK industri

Dipetik dari Utusan Malaysia

MELAKA 9 Jun - Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa (JK) Industri dalam usaha mewujudkan hubungan interaksi yang sihat antara pihak berkenaan pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa itu dianggotai wakil industri di seluruh negeri dengan dibantu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Menurut beliau, penubuhannya bertujuan menggerakkan hubungan kerjasama di kalangan warga industri negeri ini dengan agensi kerajaan melalui program yang diatur oleh kerajaan negeri.

''Menerusi kepelbagaian program yang bakal digerakkan nanti, ia diharap mampu menjadi pencetus kepada kepesatan industri yang lebih giat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Makan Malam Bintang Industri di Dataran Sungai Melaka di sini baru-baru ini.

Teks ucapan Mohd. Ali dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Menurutnya, usaha itu bertepatan dengan keadaan ekonomi dunia kini yang tidak menentu berikutan kemelut kewangan yang melanda beberapa syarikat gergasi dunia terutama di Amerika Syarikat.

''Hanya negara yang memiliki asas ekonomi yang kukuh sahaja mampu bertahan dan bersaing dalam keadaan semasa hari ini," katanya.

Kata Ketua Menteri, setakat ini, terdapat 434 buah kilang industri yang beroperasi di negeri ini dengan sejumlah 112 daripadanya melibatkan pelabur asing manakala 322 buah kilang merupakan syarikat tempatan.

''Ia melibatkan sejumlah pelaburan di negeri ini mencecah sebanyak RM26.87 juta.

''Kita berharap agar lebih banyak kilang industri dapat beroperasi negeri ini sekali gus mengerakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, kewujudan lebih banyak kilang industri di negeri ini pada masa depan mampu meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan anak tempatan khususnya yang terjejas ekoran masalah ekonomi dunia baru-baru ini.

Mesyuarat Penyelaras UMNO

Semalam, saya telah mempengerusikan mesyuarat Penyelaras UMNO DUN yang diadakan di Balairaya Pengkalan Renggam. Saya juga telah menyampaikan beberapa perkara yang telah diminta oleh YAB Datuk Mohd Ali. Antaranya pemimpin perlulah turun padang dan mempunyai hubungan yang baik dengan "Grassroot", Lawatan YAB ke DUN Ayer Molek pada 7 Ogos 2009 (Jumaat), Penambahan keahlian baru ahli UMNO serta memaklumkan tarikh baru Hari Japerun iaitu pada 17-19 Julai 2009 yang akan diadakan di Kompleks Japerun Ayer Molek.

Saya telah meminta Tn. Hj. Azmi untuk menyelaras perancangan dan aktiviti pada Hari Japerun nanti. Saya juga telah meminta Pemuda & Puteri untuk memaklumkan jumlah pertambahan ahli pada setiap kali mesyuarat. Agar kita dapat memantau arah tuju golongan muda ini dan dapat membuat perancangan untuk menarik minat mereka agar menyertai UMNO. Saya juga berharap agar semua sayap dapat mengadakan program di peringkat DUN serta bekerjasama dalam menjayakan Hari Japerun nanti.

Gotong Royong Di Kampung Kandang

Ahad, 7 Jun 2009

7 Jun 2009 (Ahad), saya telah menghadiri program gotong royong di Kampung Kandang sempena penyertaan wanita kampung Kandang pada pertandingan KPWD.Terdapat 3 jalan yang diberi tumpuan semasa gotong royong tersebut iaitu Jalan Bukit Jinjing, Jalan ke rumah ketua wanita dan juga Jalan Hassan Bidin. Di mana, saya juga telah menanam sebatang pokok kelapa pandan dan isteri saya pula menanam pokok bunga di suatu sudut landskap yang ingin diperindahkan. Sukarelawan UMNO DUN juga turut serta dalam program ini.

Saya berharap agar, wanita kampung ini akan berjaya mengharumkan nama DUN serta Melaka di peringkat kebangsaan dengan penyertaan mereka ini. Di mana, laluan yang perlu dibaiki, saya telah meminta bantuan samaada dari MBMB ataupun JKR bagi membantu kampung ini.

 
Dari Pena YB Datuk Yunos - by DaNiaHoneY Blogger