Penempatan sementara keluarga miskin

Rabu, 29 April 2009

Dipetik dari Utasan Malaysia

MELAKA 27 April – Kerajaan negeri akan menempatkan lebih ramai keluarga miskin dan orang kurang upaya (OKU) di taman perumahan sementara di Taman Rumahku Syurgaku (RKSK) Kampung Tun Razak, di sini, bagi memastikan keselesaan golongan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, buat sementara, taman perumahan itu yang akan dibuka secara rasmi 1 Jun ini bakal dihuni kira-kira 21 keluarga daripada 50 unit rumah yang disediakan.

Menurutnya, sebahagian besar keluarga miskin terbabit diambil dari Rumah Ehsan Tengkera milik Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang dibina sejak 1996.

‘‘Kita akan tempatkan lebih ramai keluarga miskin di taman ini termasuk dari pelbagai kaum, oleh itu, saya minta wakil MCA dan MIC untuk kenal pasti keluarga miskin yang tidak memiliki rumah agar segera memohon mendapatkan rumah di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek Taman RKSK dan menyerahkan kunci rumah kepada 21 keluarga miskin dari Rumah Ehsan Tengkera di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Ali, projek Taman RKSK menelan kos sebanyak RM3.5 juta dengan pembiayaan diusahakan bersama antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan menyediakan tanah seluas enam hektar manakala Affin Bank sebagai pelaksana projek tersebut.

Katanya, Taman RKSK Kampung Tun Razak merupakan projek pertama MBMB dengan syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membantu golongan miskin mendiami rumah melibatkan kos keseluruhan pembinaan sebuah unit tiga bilik sebanyak RM70,000.

Mohd. Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Tanah, Kewangan dan Perancang Ekonomi negeri berkata, keluarga terbabit dikenakan sewa sebanyak RM50 sebulan namun bayaran sewa itu akan dipotong daripada bantuan bulanan JAIM atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

‘‘Mereka boleh tinggal di sini sehinggalah sudah mampu melepasi garis kemiskinan iaitu atas RM750 dan selepas itu kerajaan negeri akan sewa pula kepada keluarga miskin lain yang layak,” katanya.



Bagi DUN Ayer Molek pula, saya telah merancang untuk mengwujudkan sebuah taman yang menggunakan konsep yang sama bagi rakyat miskin di DUN Ayer Molek. Peruntukan bagi pembinaan taman ini telah pun saya kemukakan kepada kementerian yang berkaitan bagi tujuan mendapatkan peruntukan. Sekiranya ianya diluluskan maka, DUN Ayer Molek juga akan mempunyai taman yang dikhas untuk rakyat miskin di DUN Ayer Molek untuk menginap di situ. Di samping itu juga, beberapa kemudahan awam juga turut akan disediakan. Mereka boleh menggunakannya untuk menjalankan aktiviti di antara mereka.

0 ulasan:

 
Dari Pena YB Datuk Yunos - by DaNiaHoneY Blogger