Meningitis: Wakil rakyat temui penduduk

Isnin, 11 Mei 2009

Petikan Dari Utusan Malaysia

MELAKA 11 Mei – Wakil rakyat dan agensi kerajaan berkaitan mengadakan majlis dialog dengan penduduk Tiang Dua di sini, bagi menerangkan kepada penduduk mengenai situasi penyakit radang selaput otak (meningitis) yang melanda Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di situ, baru-baru ini.

Majlis dialog itu berlangsung di balai raya Tiang Dua bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 1.30 petang.

Kerajaan negeri diwakili Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri yang juga ADUN Bemban, Chua Keng Hua, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman dan beberapa wakil dari Akademi JPJ.

Kebanyakan penduduk yang hadir pada pertemuan khas itu terdiri dari kalangan penduduk dan peniaga restoran makanan yang sebahagian besarnya terdiri dari kaum Cina.

Sementara itu, Dr. Ghazali berkata, penyakit meningitis tidak boleh merebak menyerang penduduk berdekatan memandangkan pihaknya telah mengambil langkah awal bagi membendung penyakit tersebut dari menular.

Katanya, antara usaha yang diambil termasuk mengasingkan pelatih dan kakitangan akademi agar pergerakan mereka hanya dihadkan dalam lingkungan kawasan akademi.

‘‘Malah, kita turut memberi ubat kepada pengawal keselamatan yang mengawal laluan pintu masuk akademi.

‘‘Pihak pengurusan akademi juga turut menetapkan prosedur khas kepada pelawat yang masuk ke dalam akademi agar pergerakan mereka dapat dipantau,” katanya pada majlis dialog tersebut.

Dalam kejadian 4 Mei lalu, seorang pelatih Akademi JPJ Tiang Dua meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Melaka manakala tiga dimasukkan ke ICU dan 85 lagi terpaksa dikuarantin akibat radang selaput otak.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd. Hafiz Zainuddin, 24, berasal dari Kelantan dan menetap di Lot PT 740, Taman Harmoni Kampung Beris Jambu, Kota Bahru, Kelantan.

Ghazali berkata, pihaknya tidak boleh membuat semburan asap seperti yang diminta oleh penduduk di kawasan itu memandangkan penyakit tersebut bukan berpunca dari serangga nyamuk.

0 ulasan:

 
Dari Pena YB Datuk Yunos - by DaNiaHoneY Blogger