Kebajikan pekerja perlu diutamakan

Selasa, 9 Jun 2009

Dipetik dari Utusan Malaysia

MELAKA 9 Jun - Semua majikan kepada 133,407 pekerja asing di negeri ini diminta memberi keutamaan kepada kebajikan setiap pekerja mereka bagi memastikan tidak berlakunya gejala sosial yang boleh mencemarkan imej negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan tidak wujudnya penempatan seperti Mini Jakarta, Myanmar dan Bangladesh.

Menurut beliau, jika majikan mengabaikan soal kebajikan pekerja, ada kemungkinan besar berlakunya penempatan baru warga asing di negeri ini.

"Kerajaan negeri tidak mahu pekerja warga asing ini membuka penempatan baru yang mungkin tidak disenangi oleh masyarakat setempat dan jika ini berlaku dibimbangi kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Dialog Bersama Pekilang-pekilang Kawasan Perindustrian Cheng dan Krubong di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian (MISDEC) di sini hari ini.

Md. Yunos berkata, majikan perlu menyediakan tempat penginapan pekerja asing yang cukup selesa dengan dilengkapi dengan dapur, televisyen, bilik air yang sempurna dan tempat untuk beriadah.

Beliau menambah, jika majikan menempatkan 20 pekerja dalam satu rumah tiga bilik ia akan membuatkan pekerja berada dalam keadaan tidak selesa.

"Bila tidak selesa, mereka akan melepak di luar rumah beramai-ramai dan tentulah keadaan itu menganggu suasana harmoni masyarakat tempatan sekitarnya," katanya sambil menambah terdapat 33,000 pekerja asing bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

Beliau berkata, setiap majikan juga perlu mempunyai sikap mengambil berat tentang keadaaan kediaman pekerja mereka.

Sebagai contoh, katanya, majikan boleh melakukan pemantauan terhadap kediaman pekerja untuk mengetahui tahap kebersihan dan keperluan mereka dari semasa ke semasa.

"Selain itu, kerajaan negeri juga kini sedang berbincang dengan beberapa pekilang untuk menyediakan kawasan asrama kepada pekerja yang dapat memenuhi keperluan mereka," katanya.

0 ulasan:

 
Dari Pena YB Datuk Yunos - by DaNiaHoneY Blogger