Melaka tubuh JK industri

Selasa, 9 Jun 2009

Dipetik dari Utusan Malaysia

MELAKA 9 Jun - Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa (JK) Industri dalam usaha mewujudkan hubungan interaksi yang sihat antara pihak berkenaan pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa itu dianggotai wakil industri di seluruh negeri dengan dibantu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Menurut beliau, penubuhannya bertujuan menggerakkan hubungan kerjasama di kalangan warga industri negeri ini dengan agensi kerajaan melalui program yang diatur oleh kerajaan negeri.

''Menerusi kepelbagaian program yang bakal digerakkan nanti, ia diharap mampu menjadi pencetus kepada kepesatan industri yang lebih giat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Makan Malam Bintang Industri di Dataran Sungai Melaka di sini baru-baru ini.

Teks ucapan Mohd. Ali dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Menurutnya, usaha itu bertepatan dengan keadaan ekonomi dunia kini yang tidak menentu berikutan kemelut kewangan yang melanda beberapa syarikat gergasi dunia terutama di Amerika Syarikat.

''Hanya negara yang memiliki asas ekonomi yang kukuh sahaja mampu bertahan dan bersaing dalam keadaan semasa hari ini," katanya.

Kata Ketua Menteri, setakat ini, terdapat 434 buah kilang industri yang beroperasi di negeri ini dengan sejumlah 112 daripadanya melibatkan pelabur asing manakala 322 buah kilang merupakan syarikat tempatan.

''Ia melibatkan sejumlah pelaburan di negeri ini mencecah sebanyak RM26.87 juta.

''Kita berharap agar lebih banyak kilang industri dapat beroperasi negeri ini sekali gus mengerakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, kewujudan lebih banyak kilang industri di negeri ini pada masa depan mampu meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan anak tempatan khususnya yang terjejas ekoran masalah ekonomi dunia baru-baru ini.

0 ulasan:

 
Dari Pena YB Datuk Yunos - by DaNiaHoneY Blogger